Friday, August 26, 2011

ADAB2 MENYAMBUT AIDILFITRI....



Hadith                                                         Amalan Di Malam Hari Raya
Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: 
“ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.”  (Ibnu Majah)

Huraian
1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.
2. Sebaliknya orang-orang yang kufur engkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.




Ada berapa hari raya yang disyariatkan di dalam Islam?

Ada dua sahaja iaitu hari raya fitrah (عيد الفطر) pada 1 Syawal dan hari raya korban (يومَ الأضحْى) pada 10 Dzul-Hijjah. Dalilnya ialah hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh)

Kenapa hari raya dinamakan ‘Id (العيد) dalam bahasa Arab?

Al-‘Id (العِيْد) adalah pecahan dari kalimah al-‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

Apa yang sunat dilakukan pada malam hari raya?

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47).

Adakah harus berpuasa pada hari raya?

Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya adalah hari menikmati makanan dan minuman. Terdapat hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: نَهَىَ عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَىَ وَيَوْمِ الْفِطْرِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya fitrah” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari raya?

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah

Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;

زَيِّنُوْا الْعَيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.)

Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

a) Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

b) Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.
2. Mandi sunat

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

أَنَّّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَاْنَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat. Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283).

Bilakah masanya untuk mandi?

Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; “Aku menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar” (al-Majmu’, 5/10).
3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.

Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a. –cucu Rasulullah- yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Adakah berwangian dan berbaju baru itu hanya disunatkan untuk orang yang ingin keluar mengerjakan solat hari raya sahaja?

Tidak. Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (
يوم الزينة). Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk hari raya sebagaimana juga hari jumaat.
4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya

Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid) untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;

“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

Di mana ditempatkan wanita yang dalam haid?


Wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah dari tempat sembahyang orang ramai”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Dalam riwayat yang lain; “Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana mereka bertakbir bersama mereka” (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu ‘Athiyyah r.a.).

Adakah harus wanita keluar dengan bersolek?


Tidak harus kaum wanita keluar dengan bersolek, bertabarruj dan berwangian. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Adakah harus keluar jika dikhuatiri mendatangkan fitnah? Bagaimana dengan wanita yang dalam eddah kematian suami?
Tidak harus mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya.

Adakah kanak-kanak juga sunat dibawa bersama?


Ya, sunat membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz.
5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)

Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.

Imam disunatkan hadir lebih awal –untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya)
6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)

Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)
7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang

Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; “Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”. Dari Ibnu ‘Umar r.a.; “Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim)

Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.
8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.

Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat. Malah ada pandangan menyatakan; haram.
Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman

Digalakkan pada hari raya mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari raya, melahirkan rasa gembira dan seronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Mengucapkan tahniah bersempena kedatangan hari raya adalah amalan para sahabat, oleh itu ia disyari’atkan. Al-Hafidz ibnu Hajar berkata; kami meriwayatkan dengan sanad yang baik (hasan) dari Jubair bin Nufair yang menceritakan; “Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu’”. (Fathul-Bari ‘ala Soheh al-Bukhari)

Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; “Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)

Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan; “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a.)
Adakah harus mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya?

1. Bagi imam, dimakruhkan melakukan sebarang solat sunat sebelum dan selepas mengerjakan solat hari raya kerana berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w.. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya korban dan hari raya fitrah, lalu baginda menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelumnya dan begitu juga selepasnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah apabila ia sampai di masjid tidak perlu ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, akan tetapi terus memimpin solat hari raya. Solat tahiyyatal-masjid dengan sendirinya terhasil bersama solat hari raya itu.

2. Adapun selain dari imam, tidaklah dimakruhkan mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya. Ini kerana waktu tersebut bukanlah waktu yang ditegah mengerjakan solat. Selain itu, terdapat riwayat dari Abu Barzah yang menceritakan bahawa Anas r.a., al-Hasan r.a. dan Jabir bin Zaid r.a. mengerjakan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam.

Saturday, August 20, 2011

happy anniversary ke 5 20/8/2006---- 20/8/2011

        Alahmdulillah...pejam celik2 hari ni 20/8/2011 genaplah 5 tahun usia perkahwinan kami.........moga hari2 yg mendatang sentiasa dalam limpah kasih sayang Ilahi sentiasa dan di murahkan rezeki yg halal dan di berkati......

                       kenangan 20/8/2006 dulu..tarikh kat gamabq xbetul rupanya.....muda lagi masa ni hehhe


                     
     
       

Wednesday, August 17, 2011

PERISTIWA BADAR KUBRA

Menjadi tradisi kita di Malaysia untuk meyambut hari Nuzul Quran pada 17 ramadhan. walaubagaimanapun sekiranya kita mengkaji tentang tarikh sebenar penurunan Al-Quran maka kita akan ketahui 17 ramadhan bukanlah tarikh yang tepat mengenai peristiwa bersejarah tersebut.

mungkin ramai juga yang terlupa bahawa pada tarikh yang sama satu lagi peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah Islam. Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, peristiwa yang dinukilkan dalam Al-Qur’an sebagai Yaumul-Furqan (Hari Pemisahan di Antara Hak dan Batil) telah berlaku; peristiwa penting yang menjadi penentu kepada tertegaknya atau jatuhnya Islam; peristiwa yang menentukan sama ada yang hak atau yang batil yang akan selamanya menang; itulah peristiwa yang kita kenali sebagai peperangan Badar Al-Kubra!

Peristiwa Badar Al-Kubra, yang merupakan peperangan pertama bagi umat Islam, adalah satu peristiwa yang cukup penting kerana peristiwa tersebut menjadi penentu sama ada yang hak akan berada di atas kebatilan atau yang batil akan berada di atas yang hak. Apatah lagi, tentera Islam yang seramai 313 orang itu semuanya merupakan ‘orang-orang kuat’ Islam yang seandainya terkorban, pasti perkembangan Islam itu sendiri akan mati. Malah, peristiwa ini juga boleh menjadi kayu ukur, adakah kekentalan iman Islam akan menang atau puak musyrik akan mudah meleburkan tentera Islam. Atas sebab itulah, Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah S.W.T. sebelum bermulanya peperangan, yang menggambarkan betapa penting dan besarnya perang Badar Al-Kubra tersebut;

Baginda Rasulullah s.a.w. berdoa: “Wahai Allah, kalau (pasukan Muslimin) ini sampai binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, jika Engkau menghendaki, Engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Dalam peristiwa inilah kita menyaksikan bagaimana Allah S.W.T. membuktikan janji akan pertolongan-Nya kepada orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan-Nya. Dalam peristiwa ini jugalah kita menyaksikan bagaimana kesatuan dan kesepaduan umat Islam itu teruji dan terbukti. Strategi peperangan yang terhasil daripada musyawarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menjadi hujah betapa pentingnya musyawarah dalam membuat keputusan penting dalam sesebuah organisasi atau jemaah. Malah, dalam peristiwa ini jugalah terbukti keimanan para sahabat yang telah menyatakan iltizam mereka untuk bersama-sama dengan Rasulullah, walaupun menyedari bahaya yang menanti di hadapan. Namun, dek kekentalan iman dan keyakinan yang menebal akan janji Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, maka mereka terus mara di medan perjuangan.

Perhatikan ucapan Sa’ad ibn Muaz, mewakili golongan Ansar yang merupakan golongan terbanyak dalam barisan tentera Badar tersebut, yang menyatakan tekad mereka sekaligus menghilangkan kegusaran dan menghadirkan kegembiraan di hati Rasulullah s.a.w.: “Kami telah beriman kepadamu, dan kami bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Atas dasar itu, kami telah menyatakan janji untuk sentiasa bersama, taat dan setia kepadamu. Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang engkau kehendaki, kami tetap bersamamu. Demi Allah! Seandainya engkau menghadapi lautan dan engkau terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersamamu juga. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mundur dan kami tidak akan bersedih jika engkau menghadapkan kami dengan musuh esok hari. Kami akan tabah menghadapi peperangan dan tidak akan melarikan diri. Semoga Allah akan memperlihatkan kepadamu apa yang sangat engkau inginkan daripada kami. Marilah kita berangkat dengan kemuliaan Ilahi.”

Akhirnya dengan bantuan tentera daripada para Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T., tentera Islam yang hanya seramai 313 orang itu berjaya menumpaskan tentera Musyrik yang diketuai oleh Abu Jahal. Oleh sebab besarnya peranan dan nilai kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar Al-Kubra ini, para tentera Badar adalah merupakan mereka yang dikurniakan kemuliaan.

Wednesday, August 10, 2011

zakat EMAS


Ingin saya kongsikan serba sedikit tentang Zakat Emas dan Perak
Sesetengah orang tidak tahu yang emas dan perak pada kadar (haul dan nisab) tertentu perlu di keluarkan zakat, dan sesetengah orang pula tahu tetapi tidak tahu cara pengiraan...layak ker tidak barang kemas kita inidi kenakan zakat?
Haul merujuk kepada tempoh masa iaitu setahun
Nisab pula merujuk kepada beratnya (gram dan kiligram)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah S.W.T, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam. laludiselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (Azab) daripada apa yang kamu simpan itu."
                        (surah At-Taubah ayat 34-35)

Syarat-Syarat Wajib Zakat Emas dan Perak
kadar zakat emas adalah 1/40 atau 2.5%

Zakat Emas biasa terbahagi kepada dua iaitu:
1. Emas yang di tidak pakai (disimpan saja)
 Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), masa wajiblah di keluarkan zakat sebanyak 2.5%.

formula pengiraan: Nilai emas yang disimpan x 2.5%
contonya: Saya mempunyai barang kemas yang bernilai RM10 000 x 2.5%
Jumlah zakat= RM250

2. Emas yang dipakai
Emas samada dipakai (Sebagai perhiasan)Sekali sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.Walau bagaimanapun jika ia melebihi uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf
Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya. 
        Di Wilayah Persekutuan, kadar uruf yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan adalah sekitar 150 gram atau RM16 410.

formula pengiraan: (Berat emas dipakai - uruf) x Harga semasa emas (1 gram) x 2.5%

andaikan saya bermastautin di W/persekutuan, dan mempunya 200 gram barang kemas,
harga semasa emas utk 1 gram adalah RM109.40.
contoh pengiraan: (200 gram -150gram) x RM 109.40 x 2.5%
Jumlah zakat= RM 136.75

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia: (dari sumber)
1. Kedah = 150 gram
2.  Perlis = 170 gram
3. Pulau pinang = 165 gram
4. Melaka RM5000
5. Johor = 850 gram
6. Negeri Sembilan = 200 gram
7. Selangor = 800 gram
8. Wilayah persekutuan =150 gram
9. Kelantan = tiada uruf
10. Terengganu = 850 gram
11. Pahang = 200 gram
12. Perak = 500 gram
13. Sabah = RM5000
14 Sarawak = 775 gram


rujukan lain berkenaan dengan zakat: safwanz.com 
dan www.zakat.com.my.

talian zakat: 1 300 88 5757


semoga hidup kita mendapat keberkatan di dunia dan juga di akhirat. insyaAllah..